Memacu penerokaan saintifik bagi perkembangan intelektual negara




Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman






BERAKAS, Selasa, 7 Julai. - Seminar Ilmu Falak dan Astronomi menghimpunkan pakar-pakar terkemuka dari Negara Brunei Darussalam (NBD), Indonesia dan Malaysia dalam bidang astronomi dan kajian cakerawala serta penentuan waktu sembahyang.


Seminar yang berlangsung di Dewan Mawaddah, Setia Point ini menjadi wadah dinamik bagi para sarjana, pengamal dan pencinta ilmu untuk bertukar pengetahuan dan berkongsi penemuan serta menyemarakkan perkembangan intelektual.


Seminar tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak yang juga hadir selaku tetamu kehormat.


Dalam ucaptama yang disampaikan oleh bekas profesor di Universiti Sultan Zainal Abidin, Malaysia, Dr. Baharrudin bin Zainal yang bertajuk 'Ilmu Falak Sebagai Mekanisme Sains, Sosial dan Agama' telah memberikan sorotan menyeluruh bahawa Ulul-albab perlu memanfaatkan sumber alam dalam ilmu falak untuk membentuk konsep dan aplikasi yang mendidik manusia mengenali Pencipta dan memudahkan ibadat serta mengangkat martabat insan.


Sepanjang seminar tersebut sembilan kertas kerja telah dibentangkan oleh pakar-pakar jemputan antaranya 'Evolusi Perkembangan Ilmu Falak dan Astronomi di NBD' oleh Pemangku Juruukur Kanan, Jabatan Ukur, Awang Haji Khairul Abidin bin Haji Sulaiman menghuraikan mengenai kemajuan negara dalam bidang Falak melalui teknologi moden.


Sementara itu, 'Menyingkap Langit Dari Balai Cerap Persendirian' oleh Konsultan Astronomi Malaysia, Shahrin bin Ahmad berkongsi pengalaman unik balai cerap persendirian yang menunjukkan bagaimana sains rakyat menyumbang kepada penyelidikan global.


'Astronomi Islam di Indonesia : Tradisi dan Inovasi' pula oleh profesor di Universiti Sunan Kalijaga Yogyakarta, Profesor Dr. Susiknan Azhari, membentangkan perjalanan transformasi astronomi Islam di Indonesia.


Manakala 'Kalendar : Kaitannya dengan Astronomi' oleh bekas juruukur di Jabatan Ukur, Awang Haji Julaihi bin Haji Lamat telah mengupas hubungan sejarah antara astronomi dan sistem kalendar.


'Ilmu Falak Dalam Skop Besar Astronomi' oleh bekas profesor di Universiti Sultan Zainal Abidin, Malaysia, Dr. Baharrudin menelusuri evolusi astronomi dari asal-usul Yunani hingga ke astrofizik moden.


Selain itu, 'Ilmu Falak Sebagai Instrumen Da'wah : Penyediaan Taqwim Hijri dan Pemeliharaan Maqasid Syariah' oleh Penolong Pegawai Agama di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Muhammad Syahirul Syafiq bin Rashid menekankan falak sebagai alat dakwah dan pemeliharaan Maqasid Syariah.


Sementara 'Kalendar Hijriyyah Islam Mandiri Berbasis Kriteria 29 : Tinjauan Sejarah dan Astronomis' oleh Astronomis di Balai Cerap Imahnoong, Hendro Setiyanto, Indonesia mengusulkan kalendar Hijrah mandiri yang berasaskan ketepatan astronomi.


'Nilai-nilai di Malam Hari' disampaikan oleh Imam Tingkat III di Daerah Belait, Awang Muhammad Zulhilmi bin Mohd. Jefri merenung nilai-nilai kerohanian pada waktu malam dan 'Pengalaman Pencerapan Hilal di NBD' oleh Hakim Mahkamah Syariah Rendah, Awang Haji Sahrin bin Haji Kadih berkongsi peranan kehakiman beliau dalam pemerhatian Hilal, menekankan komitmen NBD terhadap piawaian astronomi serantau.


Seminar Astronomi Brunei MYCE 2026 yang dianjurkan oleh Jabatan Ukur menutup tirainya dengan meninggalkan impak yang mendalam kepada para peserta serta mengukuhkan komitmen NBD dalam memajukan penerokaan saintifik dan perkembangan intelektual.


Close